Ibu tunggal dirundung malang

Teck Kuan (duduk, kanan) bersama jawatankuasa dan ahli Persatuan Ibu Tunggal Johor Selatan

JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal dirundung malang apabila bukan sahaja ditinggalkan suami malah diisytiharkan muflis selepas namanya digunakan sebagai penjamin tanpa pengetahuan.

Perkara yang bermain dalam mindanya adalah menjelaskan hutang dengan sebuah institusi kewangan kerana sudah mendapat perintah hadir ke mahkamah selepas gagal menjelaskan pinjaman lebih RM30,000.

Menurut maklumat daripada Timbalan Pengerusi, Persatuan Ibu tunggal Johor Selatan, Goh Teck Kuan, ibu tunggal berusia 42 tahun itu kecewa apabila suaminya bersikap lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab untuk membayar hutang tersebut.

“Bekas suami wanita terbabit telah meninggalkannya dan berkahwin lain termasuk meninggalkan hutang puluhan ribu ringgit. Lelaki itu juga seperti telah merancang sesuatu terlebih dahulu sebelum mereka bercerai.

“Sebelum bercerai, bekas suami wanita itu bertindak menjual semua aset mereka dan mengambil semua wang yang diperoleh. Paling menyedihkan, ibu tungal terbabit terpaksa meminjam wang daripada saudara mara untuk menguruskan proses penceraian mereka,” katanya
ketika ditemui di sini semalam.

Teck Kuan berkata, selepas diisytiharkan muflis, wanita itu sukar untuk mencari pekerjaan lebih baik selain tidak dapat membuat sebarang pinjaman untuk membeli kediaman atau kenderaan.

Menurutnya, bagaimanapun mujur majikan wanita itu berhati mulia kerana membenarkannya bersama dua anak berumur 16 dan 18 tahun menumpang di  sebuah bilik di pejabat untuk  dijadikan tempat tinggal.

“Pendapatannya hanya RM1,000 sebulan, sudah tentu tidak cukup untuk membayar sewa kediaman tambahan pula dia telah muflis dan perlu menjelaskan hutang mengikut perintah mahkamah sedangkan wang daripada pinjaman itu tidak  pernah digunakannya.

“Akibat namanya telah disenarai hitam, ibu tunggal terbabit tidak layak untuk menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Wanita itu juga terpaksa menanggung derita atas perbuatan bekas suaminya itu,” katanya.

Teck Kuan berkata, pihaknya telah membantu wanita itu untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada agensi kerajaan untuk anaknya yang masih bersekolah selain menghulurkan bantuan keperluan asas setiap bulan.

Posting Komentar